Pages

Friday, January 8, 2016

Kongsi Ilmu : Jalan Ke Syurga Bermula Di Rumah

Assalamuaalaikum

Rumah adalah antara nikmat Allah terbesar.Allah sendiri mengingatkan:"Allah menjadikan rumah-rumah sebagai tempat bertenang untuk kamu."( al-Nahl 16:80)
Namun tidak semua merasakan begitu.Sebaliknya ramai yang mengeluh.Walhal orang yang tidak bersyukur jiwanya sempit.Maka dia akan merasakan sempitnya kehidupan. Duit yang banyak dirasakan tidak cukup-cukup.Dikelilingi kemudahan pun masih dirasakan payah.Apa lagi rumahnya yang luas pun pasti dirasakan sempit.Luas-sempit atau selesa-rimasnya sesebuah rumah bukan hanya berkaitan keadaan fizikalnya.Sering kali hal ini berkaitan selesa atau rimasnya si penghuni rumah dengan Allah.Orang yang bersyukur pasti merasakan rumahnya luas walaupun rumahnya tidaklah sebesar mana.
Jiwanya luas.Maka luaslah dirasakan kehidupannya." Alhamdulillah, saya ada rumah."

Rumah yang hakiki bukanlah dibina dengan kuantiti harta tetapi dengan kualiti jiwa.Itulah tempat yang terbaik yang kita rindu untuk berada di dalamnya.Lihatlah istana dan vila milik selebriti,penguasa dan hartawan terkenal dunia.Semuanya serba lengkap,canggih dan mewah.Namun, disana tidak ada ketenangan sehingga para penghuninya terpaksa bergantung pada arak dan dadah untuk mengubat hati yang gundah.

Rumah kita di dunia hanya tempat persinggahan untuk sementara. Namun bagi orang beriman,ada"syurga yang disegerakan" yang mesti dinikmatinya sebelum menikmati syurga yang kekal abadi di akhirat nanti.Ertinya,jalan menuju syurga disana bermula dari sini.Rumah kita di dunia inilah seharusnya menjadi tempat kita menjana semangat,membina ibadat dan membangunkan ketakwaan bagi mendapat syurga hakiki.
Sebagaimana rumah ialah nikmat di dunia,rumah juga nikmat yang ditawarkan Allah di syurga. Sebagaimana dapat memiliki lebih daripada  sebuah rumah ialah nikmat bonus di dunia,begitu juga Allah menawarkan pelbagai skim untuk kita menambah rumah di syurga. Usah lepaskan peluang ini.

Rumah ialah nikmat.Namun tidak ramai yang merasakan begitu melainkan mereka yang tiada atau kehilangan rumah.Di rumahlah kita berehat daripada kepenatan,berkumpul bersama keluarga dan kenalan,berteduh daripada hujan dan panas serta berlindung daripada bahaya dan khianat.Dimana lagi tempat kita merasakan kemanisan hidup berkeluarga jika bukan di rumah?Dimana lagi tempat kita merasai kemesraan dengan adik-beradik mahupun teman- teman jika bukan di rumah? Dan jika bukan di rumah,dimana lagi jika dapat bangun solat Subuh,Isyak dan qiamullail sambil merasakan manisnya mengadu kepada Allah?
Dalam kita mengeluh setiap kali membayar duit rumah,ada orang yang bersyukur sungguh tatkala temui kaki lima kosong untuk bermalam.Dalam kita muak dengan meja makan dan sofa lama,mereka cukup sayang dengan kotak dan surat khabar,disimpannya baik-baik supaya boleh dijadikan tilam pada malam nanti.
Dalam kita rasa terganggu dengan kebisingan anak-anak dan leteran isteri mahupun suami,ada orang merintih jiwa untuk kembali ke sisi keluarga.
Antara mereka ada yang terpenjara,ada yang menjadi pelarian dan ada yang bekerja di tempat orang.
Orang yang bersyukur pasti merasakan rumahnya luas walaupun rumahnya tidaklah sebesar mana.Jiwanya luas.Maka luaslah dirasakan kehidupannya.
"Alhamdulillah, saya ada rumah."

Wallahu A'lam


Salam Sayang, 
Atie

No comments: